COVID-19 : Kes Baharu Di Terengganu Kembali Satu Digit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Angka harian kes baharu COVID-19 di Terengganu kembali kepada satu digit dengan empat jangkitan dilaporkan, semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi bilangan kes positif baharu di Malaysia adalah 2,192 dan enam kes kematian .

“Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 32,076.

“Kes sembuh pula 3,414,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkata, empat kes positif dan 44 kes sembuh baharu yang dicatatkan hari ini menjadikan terdapat 382 kes COVID-19 aktif di Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,135 kes. 

“380 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. Dua kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan satu daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” ujar JKNT.

Kata JKNT, bilangan kluster aktif pula adalah sebanyak 21 kluster.

“Kluster dengan tambahan kes baharu hari ini iaitu Kluster Bukit Petiti tiga kes dan Kluster Pulau Rusa satu kes,” jelas kenyataan itu lagi.

JKNT turut memaklumkan, kes yang dicatatkan hari ini melibatkan tiga di Kuala Terengganu dan satu di Marang.

Sumber: TRDI News