Dipuji orang ramai, lelaki buta ini mempunyai bengkel motor sendiri.

Facebook
Twitter
Google+

Gambar sekadar hiasan. Walaupun kekurangan upaya sejak lahir bukanlah sesuatu yang dipilih atau dimahukan, namun ramai di antara kita yang “sempurna” dari segi fizikal sering memandang rendah terhadap golongan ini. Mereka lebih dikenali sebagai orang kelainan upaya atau orang kurang upaya (OKU). Namun, kita semua tahu disebalik kekurangan sudah tentu disulami dengan kelebihan yang tak disedari oleh orang ramai.

Seperti dalam yang berlaku kepada orang kelainan upaya yang lain, kisah Azhar Ibrahim sangat mengagumkan dan harus dijadikan inspirasi bagi semua orang termasuk orang normal. Azhar dilahirkan dengan kekurangan di mana dia tidak dapat melihat atau buta. Namun, dia diberikan kelebihan kerana mempunyai deria rasa yang sangat kuat.

Sejak berusia 7 tahun, Azhar sangat gemar mendengar bunyi terutamanya bunyi motosikal. Dan pada hari ini, orang kurang upaya ini lebih berjaya berbanding sebilangan daripada kita di mana dia bekerja sebagai mekanik dan sudah memiliki perniagaan sendiri.

Cuba anda pejamkan mata dan cuba berjalan tanpa bantuan. Sukar, kan? Kali ini cuba bayangkan anda membaiki motosikal dalam keadaan mata tertutup. Sukar, kan? Itulah apa yang dilakukan oleh Azhar dalam tempoh 10 tahun kini. Azhar mempelajari cara untuk mengendalikan dan memperbaiki motosikal daripada seorang kawan.

Dia kemudiannya memutuskan untuk membuka bengkel sendiri di Batu Gajah. Namun, apa yang membuatkan lelaki hebat ini untuk memutuskan untuk berbuat demikian adalah sangat menarik. Menurut Azhar, antara sebab dia ingin membuka bengkel sendiri adalah kerana motosikal bapanya yang dibaiki oleh bengkel di kampungnya asyik rosak walaupun telah dibaiki.

Apa yang berlaku adalah bengkel tersebut menggunakan barangan yang tidak berkualiti malah mengenakan caj yang agak tinggi. Dengan ini, Azhar nekad untuk menjadi seorang mekanik yang jujur dan tidak menipu orang ramai.

Lebih mengejutkan, beliau mampu mengetahui masalah yang dihadapi motosikal hanya dengan mendengar bunyinya sahaja. Tidakkah itu satu kebolehan yang sangat membanggakan berbanding kita yang tidak ada kecacatan langsung.

Azhar bermula dengan membaiki motosikal pelanggan yang terdiri daripada rakan-rakannya di halaman rumahnya. Kemudian beberapa rakannya memuat naik kisahnya di media sosial dan menjadi tular. Namun, dia hanya menerima kepercayaan daripada golongan muda yang mengenalinya dan tidak oleh orang berusia yang ragu-ragu dengan kemampuannya.

“Mula-mula golongan tua enggan menghantar motosikal mereka kerana tidak percaya saya mampu melakukannya. Tetapi selepas saya membaikinya, mereka mula menghantar motosikal ke bengkel saya,” kata Azhar. Azhar juga memberitahu bahawa dia melakukan servis kepada 2 buah enjin motosikal pada mulanya dan itulah yang menjadi lonjakan kepada perniagaannya.

5 tahun kemudian, beliau menerima bantuan wang tunai daripada kerajaan sebanyak RM11,000 di bawah skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGP-OKU). Dengan wang itu, Azhar mendapatkan lebih banyak alatan dan membina bengkel yang lebih lengkap.

Sebelum ini, Azhar bekerja sebagai tukang urut dan memperoleh gaji RM800 dan ditambah dengan bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan. Ramai orang yang bingung dengan pekerjaan Azhar sebagai seorang mekanik memandangkan kecacatan pada penglihatannya. Namun beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Allah di atas kurniaan yang diberikan.

Azhar juga sememangnya seorang yang sangat berdikari sejak kecil dan sentiasa mahu berdikari dari segi kewangan juga. “Ibu saya tidak membesarkan saya dengan cara yang berbeza daripada adik-beradik yang lain dan saya tidak menggunakan tongkat ketika berjalan seperti orang cacat penglihatan yang lain,” kata Azhar.

Kini Azhar selesa dengan pekerjaannya sebagai mekanik walaupun masih ada perkara yang tidak mampu dilakukan dalam membaiki motosikal kerana kekurangannya.

Bengkel beliau yang terletak di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, Perak mengenakan caj yang sangat berpatutan. Caj yang dikenakan untuk baik pulih enjin atau “overhaul” hanyalah RM100 manakala kualiti alat ganti motosikal diserahkan kepada pelanggan.

“Saya memang minat dalam bidang membaiki motosikal dan setiap kali pelanggan memberi kepercayaan kepada saya, saya akan pastikan ia dapat berfungsi seperti motosikal baru,” jelas Azhar Ibrahim.

Walaupun kekurangan, namun Azhar mempunyai nasihat kepada orang ramai:”Bagi orang ramai di luar sana, tak kiralah sama ada memiliki kekurangan upaya atau tidak, teruskan berusaha dan jangan berputus asa. Kita perlu belajar untuk berdikari”.

Sumber: Apam Pink

MENARIK

Ikuti kami :

Hak Cipta Terpelihara © 2018 Husa Network Sdn Bhd

Husa Network Sdn Bhd (464366),
No 18, Tingkat 1 & 2, Pusat Komersial Chabang Tiga,
21000 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.​

Tel : 09 – 6262255(Pejabat) | Fax : 09-6262266
Email : admin@manis.fm
Tel Konti : 09-6241008