SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Dituduh tetak lelaki dengan parang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Penjual susu kambing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan menggunakan parang, dua minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Irfan Mat Naih, 21, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan sebilah parang terhadap Nur Azizi Noruddin, 28, sehingga patah tulang lengan dan retak tulang paha sebelah kiri.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan kebun di Kampung Dewan Kecil, Labok, dekat Machang, jam 11.45 malam, pada 9 Oktober 2021.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Fariz memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan itu serius dan mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Tertuduh merayu mahkamah membenarkannya diikat jamin pada kadar minimum.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MUHAMAD Irfan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan menggunakan parang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Irfan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan menggunakan parang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sumber: My Metro