SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Dua beranak Orang Asli maut motosikal bertembung Toyota Hilux

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Gua Musang: Dua beranak Orang Asli maut, dua cedera manakala dua lagi selamat dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Sejuk, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa, Jeli Udang, 34 tahun dan anak lelakinya, Amir, 12 tahun dari Kampung Pasir Linggi maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Seorang lagi anak mangsa berusia empat tahun yang belum diketahui identitinya cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dinaiki mangsa dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal yang dibonceng bersama dua anaknya dalam perjalanan dari Gua Musang ke rumahnya di Kampung Pasir Linggi.

“Sebaik sampai di lokasi, mangsa dengan tiba-tiba membuat pusingan U memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.

“Kenderaan pacuan roda itu kemudian terbabas ke dalam semak bersama motosikal mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Sik berkata, akibat kemalangan itu, tiga beranak itu terjatuh di atas jalan menyebabkan mangsa dan anak lelakinya dunia, manakala seorang lagi cedera.

Katanya, orang ramai yang kebetulan berada di lokasi kejadian membantu menghantar anak mangsa yang cedera ke Hospital Gua Musang (HGM), sebelum dipindahkan ke HSIP Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Bilik Forensik HGM untuk bedah siasat.

“Sementara, pemandu dan penumpang belakang Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan, cuma penumpang hadapan, Siti Nor Nadia Amran, 27, yang cedera di bahagian pinggang menerima rawatan di HGM.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: My Metro