SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Dua mahkamah syariah baharu bakal beroperasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jempol: Dua kompleks mahkamah syariah baharu iaitu di Kuantan, Pahang dan Kota Kinabalu, Sabah bakal beroperasi tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Kompleks Mahkamah Syariah Pahang dijangka siap pada awal Mac depan manakala Kompleks Mahkamah Syariah Sabah dijangka siap pada pertengahan April tahun ini.

Beliau berkata, kos pembinaan kompleks mahkamah di Pahang berjumlah RM44.7 juta manakala RM67.8 juta di Kota Kinabalu menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan.

“Pembinaan kedua-dua kompleks baharu itu akan membolehkan operasi bagi urusan pentadbiran dan perbicaraan kes syariah lebih efisien dan lancar.

“Ia bakal memberi keselesaan kepada orang ramai yang akan berurusan di kompleks mahkamah berkenaan, sekali gus menunjukkan kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memartabatkan perkhidmatan keadilan syariah kepada orang ramai,” katanya pada sidang media ketika lawatan ke tapak pembinaan Kompleks Mahkamah Rendah Syariah Jempol, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Datuk Abas Nordin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin.

Mohd Na’im berkata, JKSM sebelum ini sudah menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memohon kebenaran supaya mahkamah syariah seluruh negara dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, MKN membenarkan mereka beroperasi dalam keadaan terhad selain menyeragamkan operasi semua mahkamah di seluruh negara.

“Ini berikutan banyak kes berkaitan masalah rumah tangga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku antaranya membabitkan keganasan rumah tangga.

“Masalah tiada persefahaman dan kewangan antara masalah dikenal pasti punca keretakan rumah tangga ketika PKP,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, kos pembinaan Kompleks Mahkamah Rendah Syariah Jempol berjumlah RM6 juta menerusi peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, kompleks yang pada peringkat kerja awal tapak itu dibina di atas tanah rizab kerajaan seluas 1.6 hektar di Bandar Seri Jempol dan dijangka siap pada April tahun depan.

Sumber: My Metro