Dua Maut, Lima Cedera Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JENGKA : Dua maut manakala lima cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di jalan utama Jengka Tiga, berhampiran kilang sawit di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka ke lokasi selepas menerima panggilan kira-kira jam 7.16 pagi.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Myvi dan Toyota Avanza.

“Terdapat seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berada di dalam kereta Perodua Alza, manakala seorang lelaki dan tiga perempuan di dalam Toyota Avanza.

“Di dalam kereta Myvi pula melibatkan mangsa seorang wanita,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail berkata, pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat selain membuat pemantauan bagi memastikan tiada lagi keberbahayaan di lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Sinar Harian