ECERDC Lahirkan 2,447 Usahawan di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melahirkan 2,447 usahawan dalam pelbagai bidang perniagaan di Terengganu sejak 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baidzawi Che Mat berkata kesemua mereka telah diberi latihan dan bimbingan dalam aspek teknikal, kemahiran pengurusan dan pemasaran digital untuk menjalankan perniagaan secara formal.

Beliau berkata antara kursus yang disediakan ialah penyediaan makanan dan minuman, jahitan kreatif, urutan dan spa, solekan dan andaman serta program khas usahawan komuniti.

“Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku pengelola pelaksanaan program pembangunan usahawan ini akan terus membimbing mereka untuk menjana pendapatan dan mengadaptasi digitalisasi selepas tamat program untuk meningkatkan keupayaan perniagaan mereka selaras objektif program ini iaitu melahirkan usahawan mikro dan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil tamat latihan dan penyerahan kit permulaan perniagaan kepada 450 usahawan baharu yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Nurkhuzaini Ab Rahman di sini hari ini.

 Kesemua penerima adalah dari daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu yang menerima kit perniagaan permulaan bernilai RM1,500 seorang.

Menurut Baidzawi, bagi usahawan lain dari daerah Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan Besut pula, mereka dibimbing oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sementara itu seorang peserta warga emas, Che Teh Ambak, 70, berkata dia sangat berterima kasih kepada ECERDC kerana membantunya meraih pendapatan melalui aktiviti demonstrasi pembuatan tikar kercut menggunakan daun pandan laut di rumahnya di Kampung Kuala Setiu.

“ECERDC tidak memandang faktor usia sebaliknya sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja menjana pendapatan selagi ada usaha dan kreativiti. Hari ini, saya dapat anugerah khas RM2,000, boleh besarkan bangsal agar pelancong yang datang tengok demonstrasi lebih selesa,” katanya.

Seorang lagi peserta, Rosliza Bidin, 33, pula bersyukur kerana pendapatannya sebagai jurusolek dan juru andam meningkat sehingga empat kali ganda sejak menyertai kursus keusahawanan ECERDC.

“Dulu pendapatan hanya dalam RM1,500 sahaja sekarang meningkat kepada RM7,000. Saya bertuah kerana mengikuti kursus ini secara percuma sahaja dan dapat banyak ilmu baharu, kerana teknik bidang solekan berubah dengan sangat pantas selaras peredaran zaman,” katanya.

Sumber: BERNAMA