Ederson Sah Milik Fenerbahce

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER: Penjaga gol Brazil, Ederson sah meninggalkan Manchester City untuk menyertai kelab Turkiye, Fenerbahce selepas lapan tahun menuai trofi bersama skuad Liga Perdana Inggeris itu.

City dalam kenyataan hari ini mengumumkan perpindahan tetap Ederson ke Istanbul, dengan urusan bergantung kepada kelulusan antarabangsa.

Sejak tiba dari Benfica pada tahun 2017, Ederson merangkul 18 trofi bersama City, termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah. Dia turut memenangi anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana sebanyak tiga kali.

“Ederson sudah melengkapkan perpindahan tetap ke Fenerbahce. Kami mengucapkan yang terbaik buat anda, Eddie,” kata kenyataan rasmi City.

Media Britain melaporkan yuran perpindahan bernilai sekitar 12 juta pound (RM71 juta).

Fenerbahce pula mengesahkan penjaga gol berusia 32 tahun itu akan menerima gaji bersih 11 juta euro (RM57 juta) semusim bermula musim 2025-26, namun tidak mendedahkan tempoh kontraknya.

City dijangka membawa masuk pengganti Ederson, Gianluigi Donnarumma dari Paris Saint-Germain.

Dalam ucapan perpisahan, Ederson berkata: “Saya meninggalkan Manchester City dengan penuh rasa bangga atas apa yang sudah kami capai bersama. Di bawah Pep (Guardiola), kami mendominasi Liga Perdana dan menakluk Eropah.

“Ia pengalaman luar biasa… saya tiba di Manchester lapan tahun lalu penuh harapan, dan tidak sangka dapat melalui detik-detik indah sebegini. Bermain untuk City adalah masa paling istimewa dalam hidup saya.

“Saya akan pergi bersama isteri dan anak-anak, tetapi saya tinggalkan sebuah keluarga besar di sini,” katanya. – REUTERS