SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Elakkan Pembaziran Yang Mencemarkan Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Selamat Datang Wahai Bulan Ramadan! Kami merindui Mu! Kini lebih kurang seminggu lagi bulan yang dinantikan oleh Umat Islam. Berpuasa di bulan Ramadan merupakan satu tuntutan yang diwajibkan kepada umat Islam. Berpuasa bererti Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 183 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa Ramadan di Malaysia tidak sunyi dari bazar ramadan yang menjual juadah-juadah menarik untuk berbuka puasa. Semua juadah nampak begitu menyelerakan dan kita teruja untuk membeli kerana sudah seharian kita berpenat lelah menahan diri dari makan dan minum. Namun, kerana mengikut nafsu kita cenderung berbelanja melebihi apa yang diperlukan sehingga berlakunya pembaziran. Ia begitu berbeza dengan makna Ramadan yang perlu kita hayati.

Hayati Hikmah Ramadan

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabra, sama ada sabra melakukan ketaatan atau sabra menjauhi maksiat.”

Ramadan sepatutnya menjadi madrasah penyucian rohani, bukan menjadi medan kemenangan nafsu. Puasa di bulan Ramadan adalah waktu yang perlu kita manfaatkan untuk menjadi mukmin yang bertaqwa, menjaga kesihatan, membaiki waktu tidur , menghayati kehidupan orang susah dsb. Ramadan adalah waktu yang kita berkesempatan untuk membentuk empati dan sikap cintakan kesederhanaan. Mesej Islam terhadap penganutnya begitu jelas, namun perlu dihayati dengan lebih mendalam.

Pembaziran Perlu Dihentikan

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)

Berdasarkan kajian daripada SW Corp, Malaysia membuang lebih 15,000 metrik tan (mt) makanan setiap hari manakala lebih 3,000 metrik tan terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan. Statistik Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) dunia pula melaporkan lebih 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan kelaparan. Sementara itu, 795 juta orang atau 10 peratus daripada penduduk dunia menghadapi masalah kekurangan zat.

Pembaziran bukan sahaja amalan syaitan, bahkan amalan ini sebenarnya turut memberi kesan buruk terhadap bumi. Untuk menghasilkan makanan yang siap dimasak, banyak jejak karbon yang dihasilkan, banyak tenaga yang dikeluarkan, dan banyak masa yang dihabiskan, namun akhirnya makanan terbuang tanpa dimanfaatkan. Belum termasuk bagaimana sisa makanan menjadi pencemaran bau dan kos untuk melupuskan sisa. Jika pembaziran dapat dielakkan, sumber tersebut boleh dimanfaatkan dengan baik.

Dari sudut kemanusiaan, pembaziran seakan satu penghinaan kepada mereka yang mati kebuluran. Bayangkan, mereka yang tidak dapat meneguk setitis air kerana tiada wang serta dihimpit peperangan, namun kita di sini bersenang lenang atas nama sebuah pembaziran. Pembaziran perlu dielakkan kerana pembaziran adalah kerugian.

Berikut adalah tips untuk mengatasi pembaziran :

  1. Beli makanan yang cukup untuk keperluan diri dan keluarga sahaja.
  2. Rancang pembelian dengan baik
  3. Jika ada lebihan segera kongsikan kepada saudara mara atau rakan yang memerlukan
  4. Tukarkan sisa menjadi baja organik

Rujukan :

  1. JAKIM.new.pdf (islam.gov.my)
  2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – HIKMAH DI SEBALIK PUASA (muftiwp.gov.my)