SEGMEN TERKINI

MANIS MANIS PAGI

6am - 10am

Enam pegawai, kakitangan bank lulus pinjaman peribadi RM18j ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam pegawai dan kakitangan sebuah bank selepas disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi membabitkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta, kelmarin.

Kesemua suspek lelaki berusia 36 hingga 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, di sini, sekitar 4.45 petang semalam.

Sumber berkata, wang rasuah itu sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan daripada pemohon-pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman.

“Mereka dipercayai meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi bernilai kira-kira RM18 juta.

“Pegawai dan kakitangan berkenaan bertugas di beberapa cawangan bank itu di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Difahamkan, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek itu dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah untuk permohonan reman, hari ini.

Sumber: My Metro