Gagal selenggara buku stok LPG, pemborong berdepan tindakan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Seramai 17 pemborong gas petroleum cecair (LPG) bakal berdepan hukuman denda RM1juta hingga RM2 juta kerana gagal menyelenggara buku stok barang kawalan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia membabitkan enam pemborong di Kuala Terengganu, tujuh di Kemaman, tiga di Besut dan satu di Dungun sepanjang tempoh empat hari operasi bermula 18 Februari lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua pemborong terbabit tidak merekod butiran penjualan dan pembelian dengan lengkap iaitu tarikh, kuantiti, harga, nama dan alamat pembeli serta pembekal seperti yang termaktub dalam Peraturan 13 (1) Peraturan – Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

“Tindakan sitaan diambil ke atas buku stok dan invois jualan untuk siasatan lanjut untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 21 (1) PPKB 1974.

“Bagi individu, pemborong yang bersalah berdepan hukuman denda RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM 2 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saharuddin berkata, KPDNHEP memandang serius terhadap isu barangan kawalan kerana tidak mahu ia diseleweng hingga mengakibatkan gangguan bekalan.

Katanya, pihaknya mengingatkan peniaga terutama yang membabitkan barangan kawalan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan semasa.

“KPDNHEP juga menegaskan peniaga dikehendaki mematuhi penetapan harga jualan LPG di peringkat runcit iaitu RM1.90 sekilogram (KG) atau RM19 bagi silinder 10kg, RM22.80 bagi silinder 12 kg dan RM26.60 bagi silinder 14kg.

“Harga maksimum gas ini tidak termasuk kos penghantaran dan keingkaran pematuhan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kita mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Sumber: My Metro