
Liverpool: Mohamed Salah sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya di Liverpool susulan kenyataannya yang mengejutkan selepas seri dengan Leeds kelmarin, dengan kontrak dan hubungannya bersama pengurus Arne Slot berada pada tahap kritikal.
Dalam temu bual yang mengejutkan itu, penyerang Mesir itu membuka kemungkinan meninggalkan Anfield sebelum hujung musim ini, hanya lapan bulan selepas menandatangani kontrak baharu yang sepatutnya mengekalkannya di kelab sehingga sekurang-kurangnya tahun 2027.
Kontrak baharu Salah mengekalkan asas gaji mingguannya sekitar £350,000 (RM1.9 juta) dan berpotensi mencecah £500,000 (RM2.7 juta) termasuk bonus berkaitan prestasi, menjadikannya salah seorang pemain dengan gaji tertinggi di dunia.
Seandainya memutuskan untuk meninggalkan Liverpool, hanya beberapa kelab mampu menandingi pakej kewangan itu, termasuk minat lama dari kelab Arab Saudi, dengan laporan menyebut Al-Hilal antara kelab yang bersedia menampung perpindahan lumayan itu.
“Adakah ada minat dari Arab Saudi? Saya tidak mahu jawab soalan itu kerana kelab akan membawa saya ke arah yang berbeza.
“Saya sudah banyak lakukan untuk kelab ini. Saya sayang peminat dan kelab, saya tidak tahu apa seterusnya,” kata Salah.
Salah menegaskan kekecewaannya terhadap pengurusan kelab: “Saya amat kecewa, saya sudah banyak lakukan untuk kelab ini sepanjang tahun, terutamanya musim lalu, nampaknya kelab sudah ‘menghumban saya ke bawah bas’. Itu perasaan saya.
“Seseorang mahu saya menanggung semua kesalahan. Kelab banyak berjanji pada musim panas, tetapi sekarang saya di bangku simpanan, boleh kata janji itu tidak ditepati”.
Penyerang berusia 33 tahun itu turut mengulas hubungannya dengan Slot: “Dulu hubungan kami baik, sekarang tiada hubungan langsung, saya tidak tahu kenapa. Nampaknya ada yang tidak mahu saya di kelab ini. Saya hubungi ibu bapa saya dan minta mereka datang perlawanan menentang Brighton.”
Salah menambah: “Tidak kisah sama ada saya bermain atau tidak. Saya akan nikmati perlawanan itu, saya akan berada di Anfield untuk ucap selamat tinggal kepada peminat sebelum Piala Negara-Negara Afrika, kerana saya tidak tahu apa akan berlaku selepas itu.”
Dia menegaskan situasi semasa tidak adil: “Ini tidak boleh diterima. Kalau saya di tempat lain, setiap kelab akan lindungi pemainnya. Sekarang, ‘Buang Mo ke bawah bas kerana dia masalah dalam pasukan.’ Saya tidak fikir saya ada masalah.
“Saya tidak perlu berjuang untuk kedudukan saya setiap hari kerana saya sudah meraihnya. Saya tidak lebih besar daripada kelab. Saya tidak lebih besar daripada apa-apa. Tetapi saya sudah meraihnya”.
Kenyataan itu mencetuskan kontroversi dan perdebatan hangat dalam kalangan peminat Liverpool serta media bola sepak antarabangsa, ketika masa depan salah seorang ikon kelab berada dalam dilema.
Salah merupakan penjaring terbanyak ketiga sepanjang zaman Liverpool dengan 250 gol dalam 420 penampilan dan kenyataannya mencerminkan ketegangan yang timbul selepas kegagalan kelab mengekalkan prestasi konsisten dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Sumber: Harian Metro





