Graduan Undang-Undang Bersama Tiga Rakan Didakwa Cuba Curi Kabel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TAIPING – Seorang lepasan graduan undang-undang bersama tiga rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Selasa atas pertuduhan cuba mencuri kabel bawah tanah dalam kejadian, minggu lalu.

Tertuduh, AY Shimah Narayan, 41, bersama B Sujenthrran, 39; M Indran, 38; dan M Sujendran, 39; bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama cuba mencuri kabel Telekom bawah tanah dengan membuka penutup lubang kabel di tepi Jalan Kamunting-Batu Kurau, berhampiran Kolej Vokasional Kamunting dalam daerah Larut Matang dan Selama sekitar jam 1.50 pagi pada 15 November 2025.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, boleh dipenjara dan didenda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman menawarkan jaminan RM8,000 setiap seorang.

Peguam, VS Singaravadivel yang mewakili keempat-empat tertuduh merayu jaminan minimum dengan alasan semua anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai anak selain menanggung keluarga lain.

Beliau berkata, tiga daripada tertuduh masing-masing bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat kawalan keselamatan, kerja sendiri sebagai juruelektrik dan pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

“Seeorang lagi (anak guam) bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas swasta. Beliau juga merupakan graduan ijazah sarjana muda undang-undang dan berhasrat untuk meneruskan pengajian di United Kingdom,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin selain menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, tindakan pantas seorang remaja menyalurkan maklumat kepada polis membawa kepada penahanan empat lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan mencuri kabel.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Kamunting sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah sebelum dimaklumkan oleh remaja berkenaan mengenai sekumpulan lelaki mencurigakan yang dilihat membuka penutup lubang kabel di tepi jalan.

Pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan khas yang dipercayai digunakan untuk tujuan itu, termasuk dua bilah parang, dua pemutar skru serta sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan suspek.

Sumber: Sinar Harian