Guna kawalan kesihatan awam bendung risiko penularan jangkitan Covid-19 di sekolah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Shah Alam: Kaedah kawalan kesihatan awam akan digunakan bagi mencegah risiko penularan di sekolah sebaik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka bermula September ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, data klinikal ketika ini tidak mencukupi bagi menyokong keputusan memberikan vaksin Pfizer untuk remaja iaitu individu berusia 12 hingga 17 tahun.

Sehubungan itu, kata beliau, kementerian akan menunggu perincian lanjut mengenai data klinikal daripada syarikat farmaseutikal berkenaan, sebelum suntikan vaksin diberikan kepada pelajar.

“Buat masa ini, kita akan gunakan pendekatan kawalan kesihatan awam bagi membendung risiko penularan jangkitan di sekolah,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau operasi kilang Pharmaniaga Berhad di sini, dan menyaksikan penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal berkenaan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dr Adham berkata, pihaknya mendapat taklimat daripada Pfizer mengenai insiden miokarditis dan perikarditis dalam kalangan remaja, tetapi ia amat jarang berlaku dan tidak merekodkan sebarang kes kematian.

“Justeru, sementara menanti pertimbangan memberi vaksin kepada remaja, kita akan selesaikan dulu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secepat mungkin.

“Ini termasuk memberikan suntikan pelalian kepada kumpulan sokongan di sekolah iaitu guru, pemandu bas, pengawal keselamatan dan pembekal makanan atau operator kantin.

“Selain itu, tiada perhimpunan di sekolah dibenarkan bagi membendung risiko penularan jangkitan dan asas perlindungan daripada vaksin membabitkan kumpulan sokongan,” katanya.

Sumber: My Metro