Guru Rugi RM89,200 Diumpan Hadiah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Guru wanita sekolah menengah di Raub kerugian RM89,200 selepas terpedaya dengan tawaran hadiah dari luar negara (Parcel Scam) yang tidak wujud.

Mangsa, 35, mula berkenalan dengan suspek selepas menerima pesanan ringkas melalui Instagram, 9 April lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, mangsa yang masih bujang tertarik dengan kata manis suspek yang ingin berkenalan dan sering kali bertanyakan hari lahir mangsa kerana berhasrat untuk menghantar hadiah dari luar negara sebagai tanda pengenalan.

Menurutnya, mangsa memberikan nombor telefonnya kepada suspek serta alamat sekolah tempatnya bertugas untuk tujuan menghantar hadiah.

“Pada 10 April lalu mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa pihak khidmat penghantar menyatakan bahawa barang mangsa telah diposkan kepada mangsa kini telah disita oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan menghantar resit sebagai bukti.”

“Lelaki terbabit mendakwa pihak JKDM membuat pemeriksaan dan menyatakan bahawa terdapat pelbagai barang berharga di dalam kotak hadiah yang dikirim seperti beg tangan, barang kemas, cermin mata, anak patung dan wang dalam mata wang USD$60,000.”

“Disebabkan desakan daripada pihak ketiga mangsa diminta untuk mengikut segala arahan yang diberikan dengan membuat pembayaran ke dalam beberapa akaun bank sebanyak 12 pemindahan wang sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM89,200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huat Tian berkata, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan, Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

“Hadiah yang dijanjikan hanya umpan ‘scammer’ untuk menjerat mangsa menyerahkan wang hingga terpaksa menanggung kerugian,” ujarnya.

Sumber: HARIAN METRO