SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Hadis Ibu yang melahirkan tuan : Simbolik tanggang moden akhir zaman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kredit: Unsplash

Tidak ada sesiapa yang tahu bila berlakunya kiamat, namun tanda-tanda akhir zaman ada dinyatakan. Hadis ibu yang melahirkan tuan adalah hadis yang signifikan menggambarkan bahawa kita kini berada di akhir zaman. Hadis yang dimaksudkan ialah hadith riwayat Umar bin al-Khattab R.A, iaitu hadith yang menyaksikan malaikat Jibril datang kepada Nabi SAW dan para sahabat untuk mengajarkan mereka tentang Islam, Iman dan Ihsan, dan antara lain terkandung juga soal jawab di bahawa:

قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا

Maksudnya: Jibril bertanya: Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat. Nabi SAW menjawab: Tidaklah yang ditanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya. Maka Jibril bertanya lagi: Khabarkan kepadaku tentang tanda-tanda kiamat. Maka Nabi SAW menjawab: (Antara tandanya ialah) apabila seorang hamba wanita melahirkan tuannya…

Sahih Muslim (8)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mensyarahkan hadith ‘hamba wanita melahirkan tuannya’ ialah akan terjadinya banyak penderhakaan terhadap ibu bapa, dimana anak-anak akan melayan ibu mereka sepertimana seorang tuan melayan hambanya, dengan kata-kata penghinaan, cacian, memukul dan memaksa mereka melakukan kerja-kerja.

Sebagai umat Islam , kita perlu betul-betul menghayati hadis ini agar tindakan kita tidak mengikuti apa yang dinyatakan oleh hadis ini.

Bentuk Penderhakaan Terhadap Ibu Bapa Zaman Moden

Bentuk perderhakaan ibu bapa pada zaman ini bukan sahaja secara aspek fizikal, tetapi turut melibatkan aspek psikologi dan emosi. Contohnya seperti melebihkan gadjet daripada permintaan ibu bapa, tidak memberi masa yang sewajarnya tidak menghormati pandangan ibu bapa seolah-olah pandangan ibu bapa langsung tidak bernilai dan tidak berharga. Alasan seperti sedang belajar, fokus kerja sepatutnya tidak menjadi tiket untuk mengabaikan ibu bapa yang telah mengorbankan banyak perkara untuk membesarkan anak-anak.

Dari sudut fizikal apatah lagi, sering kali kita terdengar kisah anak yang mengambil harta ibu bapa, mencampakkan ibu bapa ke rumah orang tua bahkan yang lebih parah ada yang membunuh. Tindakan ini begitu bertentangan sebagaimana yang telah diajarkan oleh Islam.

Bagi orang yang derhaka, mereka akan mendapat laknat daripada Allah SWT, disegerakan hukuman di dunia ini, dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya, ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka Allah SWT.

Berbeza dengan manfaat yang diberikan kepada orang yang berbakti kepada ibu bapa ialah doanya mustajab, doa ibu bapanya juga mustajab dan melihat wajah ibu bapanya akan dikira sebagai ibadah. Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Tuntutan Birrul Walidayn (Mentaati Ibu Bapa)

Yang menjadikan Islam sebuah agama yang Istimewa adalah Islam sangat mementingkan hak setiap ahli keluarga terutama hak ibu bapa. Dalam Al-Quran telah memberikan panduan bagaimana untuk menghormati ibu bapa iaitu dengan bercakap lembut dengan mereka, tidak menaikkan suara walaupun sekadar perkataan ‘ah’ dan menyantuni mereka dengan sebaiknya.

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Al-Isra’:23

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulul-lah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak dapat dinafikan wujudnya keluarga yang berantakan hasil daripada ibu bapa yang tidak pandai memainkan peranan. Namun begitu, ia bukan satu alasan untuk menjustifikasikan tindakan untuk terus menderhaka. Dalam konteks kisah Nabi Ibrahim, Baginda cuba berdakwah kepada bapanya yang menganut agama nenek moyang untuk masuk Islam dan memulakan dakwahnya dengan kata-kata yang lembut. Kisah ini perlu dijadikan pedomana bagaimana seorang anak ingin membimbing keluarganya ke arah jalan kebenaran.

Rujukan :

  1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-425: MAKSUD HADITH HAMBA WANITA MELAHIRKAN TUANNYA (muftiwp.gov.my)
  2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-356: TANGGUNGJAWAB ANAK TERHADAP IBUBAPA (muftiwp.gov.my)