Hakim Danish Ganti Pelumba Jepun, Dapat Peluang Tutup Musim Moto3 Dengan Bergaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur : Pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli diharap dapat memanfaatkan sebaik-baiknya peluang beraksi pada dua Grand Prix (GP) terakhir Moto3 musim ini dalam Kejuaraan Motosikal Dunia iaitu di Portugal dan Valencia.

Peluang itu hadir selepas pasukan FRINSA MT Helmets MSi mengumumkan bahawa pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, terpaksa menamatkan musim lebih awal susulan kecederaan pada jari kelingking kirinya yang memerlukan pembedahan.

Pelumba berusia 18 tahun itu sebelum ini diumumkan bakal beraksi sepenuh musim dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Dunia tahun depan bersama MSi Racing Team.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berterima kasih kepada pasukan berkenaan yang meletakkan kepercayaan kepada anak didiknya itu bagi menggantikan Yamanaka.

“Pertama sekali, semoga cepat sembuh buat Ryusei Yamanaka. Terima kasih kepada MSi Racing kerana memberikan peluang ini kepada Hakim Danish untuk dua perlumbaan terakhir di Portimao da Valencia.

“Ia boleh dianggap sebagai ujian buat Danish untuk bekerja dengan pasukan sebelum memulakan musim penuh tahun depan. Saya tidak meletakkan harapan tinggi, cuma mahu Danish kompetitif dan bersaing di kelompok hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Pelumba muda dari Terengganu itu baru sahaja menamatkan penampilan sulungnya di pentas Moto3 menerusi tiket wild card bersama AEON Credit SIC Racing MSi pada GP Malaysia minggu lalu, namun tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas jenteranya mengalami masalah teknikal berbaki lima pusingan.

Hakim Danish yang akan bergandingan dengan Yamanaka musim depan ditawarkan kontrak profesional selama setahun oleh MSi Racing.

Sepanjang musim ini, Hakim Danish mempamerkan prestasi konsisten dalam Red Bull Rookies Cup apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 171 mata, hanya ketinggalan 65 mata di belakang juara, Brian Uriarte.

GP Portugal akan berlangsung pada 7 hingga 9 November ini manakala GP Valencia seminggu selepas itu.

Sumber : HARIAN METRO