Hanya 166 pegawai, anggota dibenarkan cuti sempena Aidilfitri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Hanya 166 daripada 833 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri tahun ini.

Pengarahnya, Md Hilman Ab Rashid berkata, baki 80 peratus lagi akan bertugas bagi memastikan pegawai dan anggota mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil supaya masyarakat mendapat perkhidmatan yang cepat sekiranya berlaku kes kecemasan membabitkan kemalangan dan kebakaran sepanjang musim perayaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang dibenarkan bercuti masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk dipanggil semula sekiranya berlaku sebarang insiden besar yang memerlukan lebih ramai pegawai dan anggota.

“Setiap kali musim perayaan, kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan memang akan membuat penggiliran untuk bercuti dan sebab itu, kita hanya membenarkan 20 peratus sahaja yang bercuti kali ini.

“Selain tugas rutin seperti kebakaran dan kemalangan, kita turut menjalankan tugas berkaitan Covid-19 seperti proses sanitasi premis dan kempen keselamatan kebakaran,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, di sini.

Md Hilman berkata, pihaknya turut meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk di kawasan pantai bagi mengelak berlakunya kejadian lemas.

Katanya, satu pasukan di setiap balai akan ditugaskan untuk membuat rondaan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), jalan persekutuan dan jalan negeri.

“Rondaan akan dilakukan pada waktu puncak iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan petang manakala dua lagi berada di balai untuk kes kecemasan lain,” katanya.

Sumber: My Metro