SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Hanya 50 Peratus Pelajar Pondok, Tahfiz Dan Sekolah Agama Pahang Dibenar Kembali Ke Sekolah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Hanya sebanyak 50 peratus pelajar dari sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama di Pahang dibenarkan menghadiri sesi pembelajaran bersemuka di sekolah-sekolah berkenaan.
 
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, jumlah pelajar tersebut telah diputuskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) bagi memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berada di tahap yang baik.
 
“Setakat ini hanya sebahagian pelajar sahaja dibenarkan hadir ke sekolah masing-masing bertujuan mematuhi syarat dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan sesi persekolahan dapat dibuka dan diteruskan seperti biasa di dalam norma baharu.
 
“Kita berharap dengan penguatkuasaan dan perlaksanaan pelbagai peraturan dan SOP ini akan dapat membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran seperti biasa meski pun tidak semua dapat menghadiri sesi pembelajaran bersemuka tetapi setidak-tidaknya sesi persekolahan dapat dibuka,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
 
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berharap pihak sekolah terutama guru dan pelajar dapat memaksimakan tahap pematuhan SOP kesihatan yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada kes jangkitan COVID-19 yang melibatkan kawasan sekolah.
 
Baru-baru ini, beliau telah membuat pemantauan kemasukan semula pelajar ke asrama sekolah masing-masing bagi memastikan kesemua mereka yang hadir ke sekolah telah lengkap menerima vaksin masing-masing selain melakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri.
 
Jelasnya, keutamaan bagi sesi pembelajaran bersemuka adalah calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumber: PAHANGMEDIA