Hari Kedua, Sistem Mykasih Masih Tergendala

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEREMBAN – Sistem MyKasih bagi tuntutan bantuan RM100 menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada Isnin didapati masih bermasalah.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di daerah ini pada jam 12 tengah hari mendapati ramai pengunjung meninggalkan barangan dalam troli selepas pasar raya membuat pengumuman bahawa sistem itu tergendala.

Dalam pengumuman tersebut, pihak pasar raya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan memaklumkan usaha sedang dilakukan untuk mengatasinya.

Nota makluman berhubung masalah sistem itu turut diletakkan di premis berkenaan.

Seorang pekerja menjelaskan, transaksi yang terlalu tinggi sejak jam 9 pagi menyebabkan sistem tidak stabil.

Seorang warga emas, K Ravi, 65, berkata, beliau hadir ke pasar raya tersebut untuk membuat tuntutan selepas gagal berbuat demikian pada hari pertama.

“Saya ingatkan hari ini sudah stabil, tapi tetap bermasalah. Sebagai warga emas, ia menyusahkan saya untuk datang berkali-kali.

“Memanglah tempoh tuntutan masih panjang, tapi barangan keperluan di rumah sudah banyak habis. Sebab itu, saya datang ke pasar raya hari ini,” katanya.

Bagi Normah Ahmad, 52, pula, dia terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membayar barangan keperluan selepas beratur kira-kira 20 minit.

“Saya tidak berhasrat meninggalkan troli kerana sudah penat beratur.

“Sia-sia beratur lama kalau terpaksa balik dengan tangan kosong. Saya kata pada suami, tidak mengapalah hari ini guna duit sendiri, hari lain kami cuba lagi,” katanya.

Normah turut berharap pihak kerajaan segera mengatasi masalah itu kerana ia menyusahkan orang ramai, khususnya warga emas dan golongan berpendapatan rendah yang sangat bergantung kepada bantuan tersebut.

Sumber : SINAR HARIAN