Hari Penamaan Calon Dewan Negeri Tioman Esok – SPR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan esok (Khamis) sebagai Hari Penamaan Calon bagi PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Dewan Negeri N.42 Tioman.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak, bakal calon perlu meyerahkan kertas penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin dari 9 pagi sehingga 10 pagi.

“Seterusnya, calon-calon yang telah sah dinamakan sebelum ini (5 November 2022) juga dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) yang berkenaan antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

“Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai dan Dewan Negeri N.42 Tioman, Pahang agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan, sebelum Hari Penamaan Calon,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut juga turut menyarankan calon membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bagi memastikan proses berkenaan dapat selesai dengan segera dan lancar.

“Bagi bakal-bakal calon baharu yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

“Pada Hari Penamaan Calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC. Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan,” ujar kenyataan berkenaan.

Dalam kenyataan tersebut, SPR turut menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon.

Sumber : PAHANGMEDIA