Harung arus deras Sungai Kelantan bawa vaksin buat penduduk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Krai: Petugas kesihatan mengharungi arus deras Sungai Kelantan selama 45 minit bagi membawa bekalan vaksin kepada penduduk kampung di kawasan pedalaman membabitkan 10 kampung di daerah Kuala Krai, hari ini.

Kesukaran penduduk untuk hadir janji temu suntikan vaksin Covid-19 menyebabkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai dengan dibantu beberapa agensi lain termasuk Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil; Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil inisiatif mengadakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di kawasan berkenaan.

Seramai 400 penduduk kampung menerima vaksin bertempat di Masjid Kampung Bahagia dan proses suntikan itu bermula 9.30 pagi sehingga 1 tengah hari, hari ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Krai, Dr Hazura Mat Zubir, berkata, memahami kesukaran penduduk di kawasan pedalaman untuk menghadiri janji temu vaksinasi menyebabkan pihaknya mengambil inisiatif untuk hadir ke kawasan pedalaman.

“Kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar terpaksa menggunakan bot penambang atau melalui jalan balak yang mengambil masa selama 45 minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menghadiri janji temu vaksinasi ditetapkan.

“Seramai 39 petugas kesihatan dari PKD Kuala Krai dan Hospital Sultan Ismail Petra diberi tanggungjawab untuk memberikan suntikan vaksin kepada penduduk di kawasan sekitar.

“Kami sangat gembira kerana kehadiran penduduk kampung amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di pekarangan Masjid Kampung Bahagia, hari ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guchil, Hilmi Abdullah.

Dr Hazura berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan vaksin secara bergerak ke rumah penduduk kampung yang uzur, sakit kronik atau terlantar.

Beliau berkata, seramai 400 penduduk menerima suntikan vaksin pada hari ini.

“Insha-Allah dalam jangka masa terdekat ini, kami akan memasuki beberapa lagi kawasan pedalaman berhampiran untuk membantu penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

“Selain itu, kami mengadakan gerak gempur dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk imam; penghulu; penggerak komuniti; APM; Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan; Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk menggalakkan lebih ramai penduduk mendaftar suntikan vaksin.

“Sebenarnya, ramai mahu mendapatkan suntikan vaksin, namun ada dalam kalangan mereka tidak mengetahui cara untuk mendaftar selain masalah liputan jalur lebar,” katanya.

Beliau berkata, sehingga semalam 27,000 atau 31.8 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas sudah mendaftar sebagai penerima vaksin di daerah Kuala Krai.

Menurutnya, pada masa sama, orang ramai menyedari kepentingan vaksin dan trend pendaftaran semakin meningkat dengan pelbagai program diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Katanya, setakat ini seramai 12,500 penduduk di daerah Kuala Krai sudah menerima suntikan vaksin bagi dos pertama.

Sumber: My Metro