
KUALA TERENGGANU – Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus bukan sahaja mencatat rekod penyertaan kira-kira 150,000 peserta, malah berjaya memberi limpahan ekonomi sehingga RM50 juta kepada usahawan dan peniaga kecil di negeri ini.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan anggaran perbelanjaan minimum peserta sepanjang program berkenaan.
“Kalau jumlah peserta 100,000 orang dan setiap seorang berbelanja minimum RM100, kita boleh jana sekitar RM10 juta.
“Tetapi jika perbelanjaan mereka mencecah RM500 seorang, pulangan ekonomi boleh mencecah kira-kira RM50 juta.
“Ini belum termasuk kesan lanjutan seperti penginapan, rumah inap, hotel, pasar dan pusat membeli-belah yang dipenuhi pengunjung sepanjang program,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Motosikal dan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) di sini pada Ahad.
Menurutnya, program permotoran berskala besar seperti RXZ Members bukan sahaja menarik pengunjung dari seluruh negara, malah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 15,000 peniaga kecil berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta lebih 20,000 peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Rumah inap, hotel, pasar terutama Pasar Payang, restoran dan pusat beli-belah seperti Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan Mayang Mall semuanya penuh sejak program bermula.
“Hari ini pun (Ahad), walaupun program berakhir semalam, ramai lagi peserta masih berada di sini kerana cuti hujung minggu,” katanya.
RXZ Members 7.0 yang berakhir pada Sabtu dianggap antara edisi paling besar dan berjaya sejak penganjurannya bermula apabila mencatat kehadiran lebih 150,000 peserta dari seluruh negara.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding rekod seramai 80,000 peserta ketika Himpunan RXZ Members 6.0 pada 2024.
Sumber : SINAR HARIAN





