Hong Wan Ganti Hevel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya terlepas khidmat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Hevel untuk aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin selepas perancang tengah itu mengalami kecederaan kaki.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menjelaskan keadaan Hevel disahkan pasukan perubatan sebelum membuat keputusan melepaskan pemain berusia 28 tahun itu untuk menjalani pemulihan bersama kelabnya.

Susulan daripada itu, Cklamovski memanggil seorang lagi pemain tengah JDT, Nathaniel Hong Wan yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hevel.

“Lapan hari kem latihan kali ini bukanlah situasi ideal untuknya (Hevel). Jadi, pasukan perubatan membuat keputusan supaya dia menjalani pemulihan di kelabnya.

“Saya sudah bercakap dengan dia (Hong Wan), dia bersemangat, bermotivasi dan tak sabar untuk lihat tahap fizikalnya serta bagaimana dia boleh menyumbang kepada pasukan.

“Kem sebelum ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan Hong Wan. Ketika itu dia baru kembali dan sedang mencari rentak selepas lama berehat (akibat kecederaan), mentalitinya kuat.

“Saya berasa penting untuk tidak meletakkan tekanan ke atasnya dan penting juga untuk dia tidak terlalu menekan dirinya sendiri,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hevel memainkan peranan besar sejak mula menyertai Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lalu dengan dia meledak satu gol ketika membantu skuad negara menewaskan Nepal 2-0.

Dia kemudian turut membantu skuad Cklamovski meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam pada aksi kedua kempen kelayakan dalam Kumpulan F di Staidum Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun lalu.

Harimau Malaya akan berdepan pasukan ranking 159 dunia, Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini sebelum menentang Palestin (ranking 98) di Stadium Sultan Ibrahim, 8 September ini.

Sumber : BERITA HARIAN