SEGMEN TERKINI

MANIS XPRES

3pm - 7pm

Hujan lebat luar biasa punca banjir di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Hujan lebat luar biasa hampir serentak di seluruh Pahang punca berlakunya banjir bukan akibat penerokaan hutan yang didakwa berlaku secara berleluasa.

Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, perkara itu disahkan menerusi laporan awal jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Jabatan Metereologi (MetMalaysia) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Menurut kenyataan itu lagi, daerah Maran menerima purata hujan 253 milimeter (mm) pada Januari 2021 (sehingga 10 Januari) dan 55 mm pada Disember 2020.

Bagi rekod dua tempoh itu, purata hujan di Pekan ( 238 mm dan 136 mm), Kuantan (234 mm dan 144 mm), Rompin ( 220 mm dan 137 mm), Jerantut (180 mm dan 67 mm) dan Raub ( 173 mm dan 92 mm).

Sementara itu, di Temerloh (163 mm dan 82 mm), Lipis (143 mm dan 53 mm), Cameron Highlands (143 mm dan 83 mm), Bentong ( 109 mm dan 79 mm) dan Bera ( 60 mm dan 79 mm).

“Angka-angka yang direkodkan itu membuktikan sememangnya hujan lebat secara luar biasa menjadi punca kepada berlakunya banjir di negeri ini dan bukan disebabkan aktiviti penerokaan hutan yang berleluasa seperti didakwa,”kata kenyataan itu.

Kenyataan turut memaklumkan, secara keseluruhannya, aspek penjagaan hutan di negeri berkenaan baik dan diiktiraf badan-badan berwajib.

Menurut kenyataan itu lagi, keluasan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini ialah kira-kira 1.55 juta hektar dan angka ini kekal stabil sungguh setiap tahun, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

Tambahnya, kestabilan itu dicapai kerana kerajaan negeri mempraktikkan pengurusan hutan secara berkekalan bagi menjamin kawasan hutan di negeri ini tetap terpelihara.

“Daripada 1.55 juta hektar HSK tersebut, 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya, 551,528 hektar atau 35.57 peratus hutan tidak boleh dijalankan pembalakan termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif.

“Di kawasan HSK yang boleh dibalak, ia sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC),” kata kenyataan itu lagi.

Sumber: Sinar Harian

Terkini | Popular