Ia Pemberian Wang Ehsan, Bukannya Royalti Petroleum

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan mendakwa pemberian RM400 juta oleh Kerajaan Persekutuan adalah wang ehsan, bukannya bayaran tunai royalti petroleum.

Pejabat Menteri Besar Kelantan menerusi kenyataan media berkata, sehingga kini kerajaan negeri masih lagi dalam proses perundingan dengan Kerajaan Pusat berkaitan pembayaran royalti.

“Kerajaan negeri sehingga kini masih lagi dalam proses rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

“Pemberian RM400 juta kepada Kelantan bagi 2020 dan 2021 adalah pemberian wang ehsan daripada Kerajaan Persekutuan bukannya bayaran tunai royalti.

“Pemberian itu sudah dimasukkan dalam Belanjawan Kelantan pada 2020 dan 2021,” kata kenyataan itu, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, Kerajaan Pusat sudah menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan bagi tempoh dua tahun.

Katanya, ia membabitkan pembayaran hasil petroleum pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata, bayaran berjumlah RM400 juta itu membabitkan hasil lima peratus daripada pengeluaran medan berdekatan Kelantan.

Sumber: My Metro