ICU penuh, penggunaan katil PKRC lebih 95 peratus di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, penuh selain penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan sudah melebihi 95 peratus susulan peningkatan kes kebelakangan ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yakob berkata, PKRC paling besar iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sudah penuh dengan 464 pesakit.

Katanya, sehingga kini Kelantan membuka 13 PKRC termasuk dua terbaru iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut dan Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan.

“Kelantan mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sejak seminggu lalu sehingga mencecah lebih 600 kes setiap hari menyebabkan kapasiti PKRC sudah melebihi 95 peratus.

“Setiap PKRC dibuka hanya mampu bertahan tiga hari sahaja sebelum penuh,” katanya pada sidang media selepas melawat PKRC Dewan Jubli Perak.

Dr Azman berkata, selain ICU HRPZ II penuh, wad biasa yang dijadikan wad pesakit Covid-19 di hospital berkenaan penuh, setakat hari ini.

Menurutnya, keperluan ICU memang tinggi dan kapasiti PKRC cepat penuh memandangkan pesakit tidak digalakkan menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, sehingga kini, 1,000 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah kerana keadaan kediaman mereka bersesuaian.

Sumber: My Metro