Identiti Mayat Wanita Reput Dikenal Pasti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Identiti mayat seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan reput di bawah timbunan pelepah kelapa sawit di kawasan ladang di Batu 19, Jalan Karak-Kuala Pilah, dekat Telemong, Bentong kelmarin, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mayat wanita terbabit berusia dalam lingkungan 40-an dan warganegara Indonesia.

“Pihak forensik melakukan pemeriksaan dan mayat wanita juga sudah dibedah siasat, semalam. Hasil laporan bedah siasat itu, mayat dipercayai sudah reput lebih dua minggu.

“Bagaimanapun, dalam kes ini, kita akan melakukan siasatan lebih terperinci di tempat kejadian untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Yahaya ditemui media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd Azahari Mukhtardan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Pahang Superintendan Maziah Hamzah di Dewan IT, Kompleks Logistik, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, suami mangsa tidak membuat laporan polis kehilangan isterinya.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Semalam, polis meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Ia susulan penemuan mayat wanita oleh orang awam kira-kira jam 5 petang, Isnin.

Hasil pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian, polis turut menemui pelbagai barangan milik mangsa termasuk sehelai seluar sukan berwarna hijau, jam tangan, selipar dan baju sejuk mangsa berwarna hitam.

Sumber: Harian Metro