SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Import makanan dari India masih tidak terjejas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Cameron Highlands: Bekalan makanan mentah pertanian yang diimport dari India ke Malaysia masih mencukupi buat masa ini meskipun situasi penularan Covid-19 di negara rakan dagangan itu semakin membimbangkan.

Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya masih tidak menerima sebarang laporan mengenai prestasi import makanan dari India ketika ini.

“Peningkatan kes Covid-19 di India setakat ini belum memberi kesan kepada import makanan di Malaysia memandangkan kita mengimport beberapa jenis makanan dari negara itu seperti beras wangi dan bawang.

“Namun kita sentiasa memantau keadaan itu memandangkan aspek keselamatan makanan paling dititik beratkan oleh kerajaan sejak Covid-19 melanda negara dan pelbagai tindakan sudah diambil untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi,” katanya.

Ketika ini, menurut Ronald, Malaysia mengimport 30 peratus beras dari luar negara dan turut diimport adalah daging mentah sebanyak 70 peratus.

Manakala, bekalan makanan seperti ikan, telur, sayur dan ayam tempatan masih memcukupi untuk bekalan negara.

Mengulas mengenai peningkatan harga daging lembu import katanya, perkara itu berlaku kerana terdapat peningkatan harga komponen-komponen lain untuk ternakan haiwan berkenaan seperti soya dan jagung.

“Peningkatan harga import makanan untuk haiwan berkenaan memberi kesan kepada peningkatan jualan daging import di pasaran,” katanya selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan Hijau Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Cameron Highland di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dua produk pertanian mesra alam keluaran Mardi iaitu teknologi biopestisid multi virus pertama di Malaysia dan baja Organo Plus.

Ronald berkata, Mardi sebagai agensi di bawah Mafi terus melaksanakan kajian untuk memastikan bekalan agromakanan negara lebih selamat dan berkualiti.

“Penghasillan produk hasil kajian Mardi yang sedia untuk dikomersialkan ini membantu untuk mengurangkan kebergantungan penggunaan racun kimia terhadap sayur-sayuran,” katanya.

Sumber: My Metro