SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Isu AKSB: Exco Kelantan akan beri kerjasama jika dipanggil

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan sedia dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah membabitkan projek bernilai RM27 juta berkait Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), antara 2015 dan 2019.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) terbuka untuk memberikan kerjasama sekiranya dipanggil bagi memberi keterangan.

“Setakat ini, SPRM tidak memaklumkan apa-apa dan kita juga tidak mahu mengganggu siasatan mereka. Serah kepada SPRM untuk membuat siasatan lanjut.

“Malah, sehingga kini tidak ada Exco dipanggil dan kita difahamkan masalah yang berlaku membabitkan isu di peringkat pengurusan.

“Jika mana-mana Exco dipanggil, kita tiada masalah dan bersedia memberi kerjasama penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, di sini, hari ini yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Mengulas lanjut, Mohd Amar turut mengakui isu berkenaan memberi imej buruk kepada kerajaan negeri.

“Memang betul apa yang berlaku beri imej buruk kepada kerajaan negeri kerana selama ini kita kata kita bersih dari segi rasuah, namun sebaliknya yang berlaku.

“Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan sekiranya benar berlaku kes berkenaan, SPRM boleh membawa kes itu ke mahkamah. Kita ikut proses undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.

Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.

Sumber: My Metro