Jabatan Penerangan Kelantan laksana 2,400 hebahan kesedaran Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan telah melaksanakan 2,400 hebahan, berkaitan kesedaran memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 sejak April lepas kepada masyarakat, di negeri ini.

Pengarahnya Azahar Ismail berkata, hebahan mengenai pembudayaan kehidupan norma baharu itu membabitkan dua kaedah iaitu ‘Info On Wheel’ (IOW) serta Program Sepakat Komuniti yang melibatkan 10 jajahan di negeri ini.

Beliau berkata, kaedah ‘Sepakat Komuniti’ melibatkan kerahan masyarakat setempat dengan kehadiran maksimum 200 peserta, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan ia diadakan empat kali sebulan di setiap daerah.

“Hebahan IOW pula melalui pembesar suara dan ia dilaksanakan sebanyak 400 kali sebulan, menerusi Kenderaan Unit Bergerak Jabatan Penerangan dan setiap hebahan kita menyasarkan antara 40 hingga 50 anggota masyarakat.

“Bagi pelaksanaan ini seramai 40 kakitangan dikerah untuk menyampaikan maklumat mengenai kesedaran membendung penularan COVID-19, serta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya sambil menambah, hebahan bukan sahaja melibatkan kawasan bandar tetapi juga di pedalaman, kawasan Orang Asli dan kawasan tumpuan ramai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas Pelancaran Pembudayaan Norma Baharu Putuskan Rantaian COVID-19 Peringkat Negeri Kelantan, yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serata Negeri Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini, hari ini, yang dihadiri 150 peserta membabitkan kakitangan agensi persekutuan dan kerajaan negeri.

Azahar berkata, hebahan yang dilaksanakan itu bagi membantu menyampaikan saranan kerajaan kepada orang ramai supaya kekal patuh kepada SOP, termasuk mengelakkan tempat sesak dan mengamalkan penjarakan fizikal, bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Sumber: Bernama