Jabatan Perkhidmatan Veterinar bantu rawat 100 kucing ibu tunggal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membantu merawat kira-kira 100 kucing milik ibu tunggal, Siti Endon Ismail yang menetap bersama haiwan terbabit di perumahan Kubang Buaya.

Pengarah JPV Pahang, Dr Kamaliah Ghazali, berkata antara rawatan segera yang diberikan ialah memberi ubat cacing, ubat kutu, vitamin, ubat selsema dan ubat mata kepada semua kucing miliknya.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi nasihat dan panduan kepada Siti Endon berkaitan penjagaan dan pemakanan serta persekitaran tempat tinggal haiwan itu.

“PPV Daerah Kuantan telah datang ke rumah wanita terbabit, bertujuan untuk melihat dan seterusnya memberi rawatan kepada semua kucing miliknya.

“Memelihara haiwan kesayangan seperti kucing dengan jumlah yang banyak memerlukan perhatian lebih daripada pemiliknya. Rawatan perlu sentiasa dilakukan bagi mengelak haiwan terbabit mudah dijangkiti pelbagai penyakit,”katanya selepas berkunjung ke rumah Siti Endon bagi meilhat keadaan sebenar.

Sebelum ini, tular berita berkaitan ibu tunggal berkenaan yang mencari rezeki dengan memakai maskot Hello Kitty di Teluk Cempedak, telah mengibarkan bendera putih dan merah selepas terputus pendapatan, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dr Kamaliah berkata, terdapat banyak kucing milik wanita terbabit yang kurang sihat dan kurus disebabkan pelbagai faktor, antaranya aspek pemakanan selain tidak menerima rawatan secara berjadual terutama ubat cacing dan vitamin.

“Kita akan terus memantau keadaan kesihatan semua kucing belaan Siti Endon supaya sentiasa sihat dan bebas daripada apa juga penyakit seperti kurap,”katanya.

Sementara itu, Siti Endon mengucapkan terima kasih kepada JPV yang merawat kucingnya dan memberi pelbagai jenis ubatan.

“Sebelum ini saya turut menerima bantuan keperluan asas, wang tunai RM2,000 dan makanan kucing daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) yang begitu prihatin pada saya dan kucing peliharaan,”katanya.

Sumber: Berita Harian