Jangan Jual Tanah Yang Diberikan Kerajaan Pahang – YAB MB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Pahang mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak menjual tanah yang diberi oleh Kerajaan Pahang kepada mereka.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerima geran dinasihatkan supaya menjaga aset berkenaan dengan baik dan tidak menjualnya demi keuntungan jangka pendek.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Saya tidak jemu-jemu untuk mengingatkan agar gunalah suratan hak milik tanah ini sewajarnya tetapi jangan sekali-kali dijual.

“Tanah yang dimiliki adalah aset atau harta bernilai yang perlu dikekalkan hakmiliknya, kemudian, boleh diwariskan kepada anak-anak pula kelak,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Kekal Taman Sepakat dan Sumbangan Wang Ihsam di Taman Sepakat di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad, Timbalan Menteri Kewangan I, YB Encik Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut berkata, proses pemberian suratan hak milik kepada penduduk mengambil masa kerana perlu melalui beberapa proses sebelum dimuktamadkan.

“Memang proses untuk mengeluarkan suratan hak milik ini mengambil masa sedikit kerana perlu melalui prosedur tertentu.

“Macam di sini (Taman Sepakat), mereka menunggu kira-kira 40 tahun sebelum Kerajaan Negeri dapat mengagihkan suratan hak milik kepada semua pemilik.

“Janganlah jual pula bila sudah dapat, gunalah sebaik mungkin dan kalau belum ada rumah, buatlah rumah di atas tanah berkenaan,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan Suratan Hak Milik Kekal Taman Sepakat.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 2,990 penduduk terjejas banjir di sekitar daerah Kuantan layak menerima sumbangan wang ihsan.

“Setiap ketua isi rumah menerima RM500 dan secara keseluruhannya sumbangan wang ihsan ini membabitkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bencana yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebahagian daripada penduduk menerima wang ihsan hari ini dan selebihnya akan diagihkan secara berperingkat, tapi semua akan dapat,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA