SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Jangan ‘peram’ aplikasi jika tak digunakan, batalkan langganan mampu jimat belanja bulanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TAHUKAH anda secara purata seorang individu mempunyai 32 aplikasi dalam telefon pintar mereka dan ramai tidak menyedari tentangnya.

Tidak dinafikan pelbagai aplikasi ini memudahkan kehidupan seharian – membayar bil, sebagai hiburan dan apa membezakan adalah tanggungjawab kewangan kerana ada antara aplikasi ini yang memerlukan yuran langganan bulanan.

Dalam suasana pandemik ketika ini, ramai mula terkesan sehingga ada yang kehilangan pekerjaan dan mengalami masalah kewangan ekoran banyak bil perlu dilangsaikan setiap bulan.

Keadaan bertambah buruk disebabkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah rendah disebabkan pengetahuan tentang kewangan yang lemah dan tingkah laku berbelanja tidak berhemah seperti dilaporkan dalam kajian dilakukan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Justeru, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), sebagai anggota aktif Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) tampil dengan kempen Sediakan Payung Kewangan Kami dalam usaha menyokong literasi kewangan lebih baik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bermain telefon



Dalam dunia serba teknologi hari ini, telefon adalah alatan penting yang memudahkan pelbagai urusan.

Sudah tentu, langkah awal yang boleh diambil adalah dengan menguruskan kewangan berkaitan dengan langganan bulanan.

Ia bukan hanya terhad kepada aplikasi di telefon pintar atau pada alatan lain tetapi juga termasuk langganan pusat kecergasan, perkhidmatan penstriman, permainan dalam talian, perisian kewangan, portal berita digital dan beberapa instrumen media sosial untuk membuat hantaran di Instagram anda.

Berikut adalah beberapa langkah yang dapat menjimatkan wang anda dalam tempoh setahun sekiranya menguruskan langganan dengan lebih efektif.

Aplikasi telefon



Secara purata seseorang mempunyai 32 jenis aplikasi dalam telefon mereka.

1. Elakkan langganan tahunan

Kebanyakan perkhidmatan menawarkan pakej lebih murah bagi langganan tahunan berbanding bulanan. Sentiasa pilih langganan bulanan kerana lebih mudah untuk anda batalkan sekiranya tidak menggunakannya lagi, melainkan anda memerlukan perkhidmatan itu bagi tujuan bekerja atau sesuatu yang anda gunakan setiap hari.

Konsep memilih langganan tahunan adalah untuk “rancang dan tidak lupa” namun ia lebih sesuai digunakan bagi memudahkan simpanan secara debit langsung, berbanding pembayaran automatik langganan seperti Spotify Premium, YouTube Premium, Netflix, dan lain-lain.

Anda juga perlu berhati-hati dengan langganan “freemium” (percuma semasa tempoh percubaan + bayaran premium dikenakan selepas tempoh percubaan). Konsep ini menarik kerana ia membolehkan anda mencuba dahulu aplikasi atau perisian tersebut untuk jangka masa pendek sebelum memutuskan untuk melanggannya. Jangan lupa tarikh tamat percubaan dan ingat untuk membatalkannya sebelum langganan anda disahkan.

Berkongsi langganan



Berkongsi langganan lebih menjimatkan.

2. Kongsi langganan

Lebih bermakna apabila kita melakukan sesuatu bersama orang yang kita sayangi bukan? Terutamanya apabila anda dapat membahagikan bayaran bil perkhidmatan bulanan Zoom Premium dengan keluarga dan rakan-rakan anda. Ini juga dapat membantu anda terus mendisiplinkan diri kerana ada rakan-rakan yang boleh mengingatkan anda tentang bayaran langganan tersebut.

Berkongsi juga boleh memaksimumkan penggunaan langganan yang anda bayar. Sebagai contoh, di luar waktu bekerja anda mungkin tidak memerlukan akses perkhidmatan tersebut tetapi rakan anda yang bekerja sendiri mungkin memerlukannya.

Perkongsian ini sesuai bagi perkhidmatan penstriman seperti Netflix dan Spotify. Kini, anda boleh bergilir-gilir untuk menonton rancangan kegemaran bersama dengan rakan-rakan anda.

Pelbagai bil



Jangan biarkan diri anda dibelenggu dengan hutang.

3. Bayar langganan anda menggunakan duit baki lebihan

Ini cabaran untuk anda: ambil balang atau tin kosong. Simpan duit baki lebihan anda – sama ada duit syiling atau wang kertas bernilai kecil dan hitung semuanya pada akhir bulan. Sekiranya bernasib baik, jumlah yang dikumpul mungkin cukup untuk membayar kos langganan. Dengan cara ini, anda berjaya memanfaatkan duit baki lebihan untuk kegunaan yang sewajarnya.

Anda akan terkejut dengan jumlah terkumpul kerana cukup untuk membayar langganan, dan seterusnya membuatkan anda rasa kurang bersalah membayarnya.

Sementara itu, perkara paling penting adalah batalkan langganan perkhidmatan yang anda tidak gunakan sejak beberapa bulan lepas. Jika anda tidak membuka aplikasi tersebut atau tidak menggunakan perkhidmatan yang dilanggan dengan kerap,kemungkinan besar anda boleh hidup tanpanya.

Membatalkan langganan yang tidak digunakan hanya langkah pertama. Langkah seterusnya adalah hentikan langganan yang diterima melalui e-mel promosi daripada penyedia aplikasi atau perkhidmatan kerana mereka akan berusaha menarik perhenatian anda untuk kembali melanggan.

Hanya pergi ke bahagian bawah e-mel yang mereka hantar dan klik “unsubscribe” untuk mengelakkan anda daripada menerima e-mel “we miss you” yang bakal mereka hantar. Jangan risau, anda boleh sentiasa mendaftar semula sekiranya anda berubah fikiran kelak.

Sumber: Mstar