Jangan ‘tekan’ KKM kendali risiko lonjakan kes

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak perlu diberi tekanan dalam mengendalikan risiko peningkatan kes COVID-19 dengan kelonggaran merentas negeri bermula Isnin lalu.

Pakar Epidemiologi dan Biostatistik, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata kelonggaran sekatan itu adalah simbolik Malaysia bersedia membawa rakyat ke fasa endemik.

Tegasnya, ia juga mencerminkan sudah tiba masanya negara bertenang daripada kawalan ketat kerana perlu memandang ke hadapan untuk masyarakat hidup bersama COVID-19.

Beliau berkata, risiko peningkatan kes akibat kelonggaran merentas negeri boleh berlaku namun dijangka berada di bawah keupayaan kapasiti kemudahan kesihatan awam untuk mengawalnya.

“Tindakan Malaysia ini selari dengan negara luar seperti United Kingdom dan Denmark yang melonggarkan sekatan, namun pada masa sama mampu menangani peningkatan kes.

“Kita kena bergerak ke depan untuk hidup dengan COVID-19 dan tiada pilihan lain selain melonggarkan sekatan seperti mana diambil negara luar.

“Ada negara yang kesnya masih tinggi namun tetap melonggarkan sekatan seperti di Denmark yang tiada peraturan lagi kecuali mewajibkan pemakaian pelitup muka di lapangan terbang.

“Dasar sifar COVID-19 seperti mana dilaksanakan China memang mustahil untuk dilaksanakan sebelum dapat hidup bebas,” katanya kepada BH, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, KKM akan memantau corak penyakit dan data mobiliti untuk mengunjurkan kemungkinan penularan wabak susulan kebenaran merentas negeri diberikan sejak Isnin lalu.

Susulan kebenaran itu, pergerakan kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) meningkat 14 peratus secara keseluruhan setakat kelmarin, dengan pergerakan tertinggi menuju utara dengan peningkatan 20.5 peratus.

Dr Jamalludin berkata, KKM sudah menyediakan asas aspek penjagaan kesihatan awam dengan baik dan ia perlu dipatuhi sebaiknya oleh masyarakat.

“KKM tidak perlu diberi tekanan untuk ‘mengongkong’ rakyat kerana pendekatan pemantauan dan pendidikan kepada masyarakat sudah memadai.

“Kerajaan pun peka dengan perkara ini. Jika berlaku peningkatan kes, aspek yang perlu dipantau ialah sama ada kadar kemasukan ke hospital tinggi atau hanya membabitkan kes kategori satu dan dua.

“Jika kenaikan kes membabitkan kategori serius, barulah kelonggaran boleh dikaji semula tapi melihat kepada negara luar, mereka tidak menguatkuasakan semula perintah sekatan meskipun berlaku peningkatan kes.

“Jadi bagi kita, jika ada risiko peningkatan, amalan semasa boleh dilaksanakan seperti mengenal pasti kluster dan kaedah pencegahan,” katanya.

Sumber: Berita Harian