‘Jangan tinggalkan saya Wawa’ – Aeril Zafrel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

“JANGAN tinggalkan saya. Saya akan terus membahagiakan awak,” kata pelakon Aeril Zafrel buat Wawa Zainal sempena sambutan ulang tahun ke-27 isterinya itu, semalam.

Aeril, 31, atau nama sebenarnya Suhairil Sunari turut mendoakan Wawa terus menjadi isteri solehah dan ibu yang baik kepada anak-anak mereka.

Menurut Aeril, Wawa sentiasa ada bersamanya tidak kira ketika susah atau senang terutama dalam melayari bahtera perkahwinan.

“Saya berdoa semoga apa yang diimpikan Wawa dalam hidupnya tercapai. Pada usianya sekarang, saya melihat banyak peningkatan dalam dirinya terutama dalam perniagaan yang diusahakan.

“Dari awal perkahwinan sampai sekarang yang kini mencecah tujuh tahun, Wawa sentiasa ada bersama saya. Dia tidak pernah bosan menasihati saya supaya menjadi suami yang bertanggungjawab.

“Sikap yang ditunjukkan Wawa itu membawa kepada kejayaan untuk kami sampai ke tahap sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya apakah hadiah yang diberikan sempena ulang tahun Wawa, Aeril berkata, dia tidak membeli sebarang hadiah selain mengadakan majlis hari jadi bertemakan serba putih itu.

“Jika tahun lalu saya hadiahkan kereta, tahun ini tidak ada. Disebabkan terlalu sibuk bekerja, sampai lupa mahu bagi hadiah.

“Lagipun, Wawa bukan seorang yang meminta-minta. Kalau ada, adalah. Sekarang pun saya belum terfikir mahu belikan apa. Kalau beg tangan dia boleh beli sendiri bila-bila masa. Jadi, saya tidak ada idea lagi,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan anak ketiga, Aeril menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT.

“Belum ada rezeki lagi. Kami tidak menolak rezeki Allah. Malah, kami tidak pernah merancang,” katanya.

Aeril dan Wawa berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua anak, Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4.

Sumber: Harian Metro