JDT Disenarai 15 Terbaik Asia, 250 di Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengharumkan nama negara apabila diletakkan pada kedudukan ke-15 terbaik dalam kalangan kelab Asia bagi tahun 2022.

Kedudukan itu diletakkan oleh Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) dengan skuad Harimau Selatan menduduki tempat ke-250 daripada 500 pasukan terbaik kelab bola sepak lelaki dunia tahun 2022.

Persembahan cemerlang JDT terutama dalam saingan Liga M musim lalu selain mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL) dilihat menjadi antara faktor penyumbang mereka mendapat pengiktirafan itu.

Berada di tangga ke-250 di dunia, JDT mengatasi beberapa kelab lebih terkemuka seperti FC Lorient (Perancis), Vissel Kobe (Jepun), FC Seoul (Korea Selatan), Torino FC (Itali) dan Brentford (England).

Kelab Liga Korea atau K League, Jeonbuk Hyundai Motors berada di kedudukan teratas kelab terbaik Asia dan menduduki tempat ke-42 dunia.

Satu lagi kelab K League, Ulsan Hyundai FC muncul pasukan kedua terbaik Asia selepas menduduki tempat ke-99 diikuti kelab Al Hilal dari Arab Saudi yang menduduki tempat ke-115.

Menurut IFFHS, kelab serie A Brazil, CR Flamengo adalah kelab terbaik di dunia selepas meraih dua kejuaraan iaitu Copa do Brazil 2022 dan Copa Libertadores.

Tempat kedua turut dikuasai lagi kelab Brazil, SE Palmeiras diikuti gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, Chelsea dan Manchester City yang mana berada di kedudukan ketiga, keempat dan kelima dunia.

Sumber : BERITA HARIAN