Kalau bukan ‘tall, dark and handsome’, jangan mimpi nak dapat Wany Hasrita

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PENYANYI Wany Hasrita menegaskan dirinya masih solo walaupun namanya pernah dikaitkan dengan tiga jejaka iaitu Tajul Arif, Khai Bahar dan terbaharu bekas anggota kumpulan Q Face, Fairuz Selamat.

Wany berkata masih terlalu awal untuk dia memikirkan soal jodoh kerana karier seninya baharu sahaja bermula dan banyak perkara ingin dicapai sebelum berkahwin.

“Ingin saya tegaskan buat masa ini saya tidak mempunyai teman lelaki dan gosip terbaru mengatakan saya bercinta dengan Fairuz pun tidak benar.

“Kami bersahabat dan sudah mengenali antara satu sama lain sebelum saya bergelar artis lagi. Buat masa ini saya selesa fokus kepada kerjaya dan bidang perniagaan yang baru saya ceburi,” katanya.

Wany ditemui pada majlis pelancaran produk pertama keluarannya iaitu Jellyta by Wany Hasrita pada Selasa.

Ditanya mengenai kriteria lelaki yang disukainya, Wany secara bergurau memberitahu dia mencari calon yang ‘tall, dark and handsome’ (tinggi, sawo matang dan kacak).

“Kalau bercakap tentang kriteria yang saya cari sebagai teman hidup kalau boleh biarlah yang ‘tall, dark and handsome’… hahaha,” katanya.

Dalam pada itu, Wany memberitahu gosip yang melandanya telah memberi kesan kepada ibunya apabila ia sering menjadi cakap-cakap orang sekelling.

“Jujurnya ibu saya memang tertekan apabila saya sering digosipkan dengan beberapa artis lelaki sebelum ini sebab dia yang terkena tempiasnya.

“Saya kasihankan dia tambahan pula dia seorang ibu tunggal dan apabila orang bercakap-cakap tentang saya dia pasti terasa.

Sementara itu, Wany berharap namanya tidak lagi terpalit dengan cerita kontroversi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan peminat.

“Harap-harap tiada lagi gosip dengan mana-mana artis lelaki lagi selepas ini. Cukuplah saya dikaitkan dengan Tajul, Khai Bahar dan Fairuz sebelum ini dan saya sendiri akan lebih berhati-hati dalam pergaulan agar tidak timbul salah faham,” jelasnya.

Sumber: Mstar