Kanak-Kanak 12 Tahun Dirogol Kenalan Aplikasi Cari Jodoh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dirogol oleh rakan lelaki yang baharu dikenalinya menerusi satu aplikasi cari jodoh dalam talian.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam pada Khamis lalu, kemudian mangsa dibawa oleh lelaki berusia 28 tahun itu ke sebuah bengkel di Kemaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, mangsa terdahulu dikatakan mengikuti ibunya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk melawat ahli keluarga kira-kira jam 1.30 petang.

Bagaimanapun, katanya mangsa yang hanya menunggu di lobi hospital berhubung dengan seorang lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi cari jodoh, sebelum keluar mengikutinya ke Kemaman tanpa pengetahuan ibunya.

Ketika di sebuah stesen minyak di Kemaman, beliau berkata mangsa kemudian dijemput seorang lelaki lain yang turut dikenalinya melalui aplikasi sama dan dibawa bersiar-siar menaiki kereta di sekitar kawasan berkenaan.

“Sewaktu di dalam kereta, mangsa mendakwa lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu memberikannya minuman yang menyebabkannya mengantuk sebelum dibawa ke sebuah bengkel.”

“Mangsa yang tertidur hanya terjaga apabila suspek menanggalkan seluar lalu merogolnya,” katanya.

Suffian berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kemaman kira-kira jam 5 pagi Jumaat lalu.

“Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit kira-kira jam 2 petang di sekitar daerah ini dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” ujarnya.

Sumber: BERITA HARIAN