SEGMEN TERKINI

MANIS MANIS PAGI

6am - 10am

Katil klinikal di PKRC Gelanggang Seni ditambah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU, 9 Mei – Jumlah katil klinikal untuk menampung pesakit kategori satu dan dua, yang berisiko mendapat komplikasi awal COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni di sini, akan ditambah bagi menampung keperluan semasa.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata, pusat kuarantin yang kelapan di negeri itu pada awalnya hanya akan menempatkan 30 katil klinikal, namun melihat kepada keadaan terkini pihaknya merancang untuk menambah 30 lagi katil.

Beliau berkata, tambahan katil itu dilihat satu keperluan susulan situasi semasa kes harian COVID-19, yang masih menunjukkan tiga angka hampir setiap hari.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk menambah katil klinikal di PKRC Gelanggang Seni yang dijangka bakal beroperasi pada Selasa ini, susulan keadaan COVID-19 di negeri ini yang mempunyai kes tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di PKRC Gelanggang Seni hari ini.

Dr Mohd Azman berkata keperluan katil klinikal di PKRC itu juga, susulan wad-wad di hospital induk yang menguruskan pesakit COVID-19 telah penuh.

“Jadi kita terpaksa meletakkan pesakit COVID-19 kategori satu dan dua di PKRC itu yang berkemungkinan mendapat komplikasi awal, terutamanya melibatkan warga emas dapat dipermudahkan.

“Kita cuba untuk mengawal keadaan pesakit. Sebagai contoh, mereka berada di sini apabila berada dalam kategori satu dan dua, namun apabila mereka memerlukan oksigen mereka automatik sudah menjadi kategori tiga, oleh itu kita akan uruskan terapi oksigen dan juga rawatan susulan di PKRC ini,” katanya.

Dr Azman berkata PKRC itu juga akan dilengkapi dengan tangki oksigen perubatan, alat bacaan nadi dan kepekatan oksigen, untuk merekodkan tahap oksigen dalam darah.

Beliau berkata pihaknya akan menempatkan pegawai perubatan berpengalaman, yang menguruskan pesakit COVID-19 di PKRC itu, selain pakar perubatan penyakit berjangkit juga akan melakukan rondaan pada setiap hari.

“Melalui PKRC ini, ia sekali gus dapat meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan PKRC di negeri ini kepada peringkat lebih tinggi, memandangkan sebelum ini kita tidak memberi rawatan oksigen di PKRC, namun sebaliknya di PKRC ini pesakit menerima bekalan oksigen yang dibekalkan akan kekal berada di sini,” katanya. 

SUMBER: BERNAMA