Kawasan Pendakian Hutan Simpan Kekal Dibuka Semula

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) membuka semula kawasan pendakian dalam hutan simpan kekal (HSK) di empat daerah di negeri ini, selepas ditutup sementara berikutan Monsun Timur Laut melanda negara akhir tahun lalu.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata kawasan pendakian berkenaan terletak di Jerantut, Bentong, Cameron Highlands dan Temerloh yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong tempatan serta luar negara.

Beliau berkata, kebenaran melakukan aktiviti pendakian dibuat secara berperingkat bermula 25 Februari hingga esok terutama selepas keadaan cuaca di negeri ini kini kembali normal.

Katanya, difahamkan permohonan permit untuk memasuki kawasan hutan simpan kekal oleh pelancong tempatan bagi melakukan aktiviti pendakian sudah mula diterima oleh JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD).

“Jabatan menasihatkan pelancong yang ingin melakukan aktiviti pendakian dalam hutan simpan kekal di bawah seliaan JPNP supaya dapat mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan terutama membabitkan permit memasuki kawasan hutan simpan.

“Mereka yang berada dalam hutan simpan kekal tanpa permit atau kebenaran bertulis daripada JPNP atau PHD, boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat kes individu yang terbabit dengan aktiviti pendakian dan pacuan empat roda di Jerantut dan Raub dikenakan tindakan undang-undang kerana memasuki hutan simpan kekal tanpa permit.

Regina Mariah berkata, kes terbaharu bulan lalu apabila 13 individu ditahan Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub kerana memasuki Hutan Simpan Batu Talam tanpa permit.

Mereka melakukan aktiviti sukan lasak menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal lasak.

Katanya, mereka yang ingin melakukan aktiviti pendakian adalah digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan Malim Gunung yang berdaftar dengan JPNP dan PHDdengan nisbah seorang Malim Gunung membawa tujuh pelancong.

Di Pahang, terdapat 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) dengan tarikan utama seperti air terjun, jeram, suhu sejuk dan kawasan hutan semula jadi.

– BERITA HARIAN