SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

KDYMM Pemangku Raja Pahang ‘Disapa’ Kumpulan Memerang Di Persisir Sungai Kuantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bukan sahaja menarik perhatian rakyat jelata tetapi baginda juga turut disapa oleh beberapa ekor memerang di hutan bakau sepanjang Sungai Kuantan.

Baginda yang bercemar duli melawat beberapa lokasi tumpuan di Bandaraya Kuantan bersama TYT Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Encik Michalis Rocas disapa kira-kira 10 ekor memerang yang berhabitat di hutan paya bakau berkenaan ketika dalam perjalanan ke Pinggiran Sungai Kuantan.

Memerang yang ‘menyapa’ rombongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di hutan bakau sepanjang Sungai Kuantan.

Bot yang membawa baginda dan rombongan telah berhenti kira-kira 5 minit untuk melihat pelbagai aksi daripada kumpulan memerang berkenaan yang seolah-olah menyambut kedatangan baginda sebelum meneruskan perjalanan.

Perjalanan baginda ke lokasi tersebut yang mengambil masa kira-kira 20 minit turut diserikan dengan kehadiran lima ekor burung helang jenis Lang Siput atau Haliaeetus leucogaster yang pernah menjadi ikon Bandaraya Kuantan suatu ketika dahulu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama TYT Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Encik Michalis Rocas ketika melawat Menara 188.

Baginda hari ini berkenan bercemar duli untuk melawat beberapa lokasi tumpuan di Bandaraya Kuantan dan tiba pada 3.10 petang dengan membawa sendiri kereta ke lokasi pertama iaitu Menara 188 dengan diiringi oleh TYT Encik Michalis Rocas.

Dalam kunjungan tersebut baginda berkenan mendengar sembah taklimat mengenai sejarah pembinaan Menara 188 dan juga sejarah Kuantan serta tujuh lokasi kawasan pembangunan utama di sepanjang Kuantan Waterfront oleh Pengurus Besar Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Negeri Pahang (ECERDC), Encik Arizan Arifin.

Baginda kemudiannya membawa TYT Encik Michalis Roca dan tetamu yang lain meninjau pemandangan Bandaraya Kuantan dari tingkat 1 dan 3 Menara 188.

Seterusnya baginda dan rombongan berangkat ke Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah untuk mendengar sembah taklimat dan melawat kawasan berkenaan.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ketua Bahagian Perdagangan dan Ekonomi EU, Encik Francesco Floris; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin dan YM Tengku Aiman Putra Tengku Dato’ Sri Kamal Bharin.

Sumber: PAHANGMEDIA