KDYMM Raja Permaisuri Agong Berkenan Rasmi Pusat Susu Bonda Halimatussaadia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (HMMC), SASMEC @ IIUM di Kuantan, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI), Datin Sri Burhah Mohammed, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman dan Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman.

Sehubungan itu, KDYMM Raja Permaisuri Agong bertitah agar usaha HMMC ini dapat diteruskan dalam usaha memastikan bayi yang baru lahir mendapat khasiat daripada susu ibu.

“Saya harap program ini berterusan dan dapat diketahui ramai supaya mereka tahu bahawa terdapat tempat di mana mereka boleh datang dan menderma susu mereka,” titah baginda.

KDYMM Raja Permaisuri Agong bertitah demikian pada Majlis Perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia, Sultan Ahmad Shah Medical Centre di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan.

Penubuhan HMMC yang diilhamkan pada tahun 2019 merupakan sebuah pusat susu patuh syariah bagi memastikan semua bayi yang memerlukan dapat dibekalkan dengan susu ibu.

Pasukan HMMC telah menjalankan penyelidikan dan menubuhkan satu set Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif dengan mematuhi maqasid syariah dalam keseluruhan proses bermula daripada pengambilan bakal penderma susu sehingga penyusuan susu ibu penderma kepada bayi baru lahir.

Pasukan ini juga telah memperoleh kemahiran teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara Bank Susu Manusia menerusi lawatan ke Hospital Universiti Queen Elizabeth di Glasgow pada Februari 2020.

asukan ini juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa agama Negeri Pahang termasuklah Pejabat Mufti Negeri Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jawatakuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang bagi mendapatkan panduan dan nasihat tentang pematuhan syariah bagi penubuhan HMMC.

Sumber: PAHANG MEDIA