Kebun Sayur Punca Sungai Melimpah di Lojing

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Pembukaan kebun sayur-sayuran di Tanah Tinggi Lojing dikenal pasti menjadi punca limpahan Sungai Berook dan arus deras berhampiran Lojing, Gua Musang, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah, berkata limpahan yang berlaku bukan disebabkan aktiviti pembalakan.

Katanya, limpahan sungai turut berlaku di luar Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri tetapi dalam kawasan tanah kerajaan.

“Sungai melimpah dari kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing dan bukan pembalakan kerana tiada pembalakan di kawasan itu sejak 2008.

“Saya menerima laporan daripada pegawai di Gua Musang dan ia berlaku di luar kawasan HSK. Limpahan air berlaku sebab kebun sayur dan itu di luar kawalan kita.

“Pada 17 Jun lalu, pegawai saya melihat keadaan selepas tular video di media sosial dan laporan akan dihantar kepada Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pembukaan perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Pergunungan Lojing Kelantan 2022 di sini, hari ini.

Rakaman satu minit 50 saat tular pada 16 Jun lalu antara lain memaparkan limpahan Sungai Berook dekat Lojing yang keruh.

Sumber: BERITA HARIAN