SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Kek bulan berlogo halal ada DNA babi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengesahkan produk makanan kek bulan keluaran sebuah syarikat yang beroperasi di sini adalah tidak halal, berikutan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) babi yang dikenal pasti di dalamnya.

Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali, berkata ini dibuktikan melalui keputusan ujian makmal daripada Jabatan Kimia Malaysia bertarikh 1 November yang menemukan DNA haiwan iaitu babi pada sampel kuih bulan keluaran syarikat berkenaan.

Beliau berkata, aduan mengenai isu halal bagi kuih bulan keluaran syarikat itu dibuat pada 16 September lalu dan ia disusuli pemeriksaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Sabah pada 23 September.

“MUIS menerima laporan secara bertulis pada 16 November lalu daripada JHEAINS bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk datang ke Pejabat MUIS pada 19 November bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“MUIS mendapati bahawa sijil halal syarikat itu telah tamat tempoh pada 15 Mei dan syarikat itu mengakui kesilapan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, MUIS berpandangan bahawa syarikat berkenaan telah melakukan ketidakakuran syariah yang berkaitan dengan produk makanan kek bulan yang dkeluarkan oleh syarikat itu.

Mengulas lanjut Ramlan berkata, pihaknya memandang serius mengenai pelanggaran dan ketidakakuran syariah serta bertentangan dengan dasar syarak dalam produk makanan yang mempunyai DNA babi.

“Oleh itu, MUIS telah mengambil tindakan dengan membekukan akuan permohonan pembaharuan syarikat ini dalam sistem MyeHalal dan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat ini.

“Dengan penarikan balik SPHM ini, syarikat ini adalah dilarang sama sekali mengunakan SPHM dan logo Halal Malaysia untuk sebarang tujuan perniagaan, publisiti atau lain-lain di dalam atau di luar premis atas nama syarikat ini.

“Pihak MUIS juga menasihatkan semua pihak yang mengunakan sijil dan logo halal Malaysia supaya menjaga kepentingan serta sensitiviti masyarakat Islam dalam memastikan makanan, produk atau barang gunaan yang dikeluarkan sentiasa patuh syariah,” katanya.

Sumber: Berita Harian