Kelantan tidak bercadang beli vaksin – MB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak bercadang membeli vaksin COVID-19 berikutan ia membabitkan kos yang tinggi, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata mungkin negeri seperti Sarawak boleh membeli vaksin berkenaan.

“Kelantan setakat ini mengambil pendekatan seperti negeri-negeri lain kerana ia membabitkan kos yang besar.

“Kita ambil pendekatan tunggu dan ikut pendaftaran seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, di sini, pada Sabtu.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata kerajaan negeri dibenarkan membeli vaksin sendiri.

Khairy berkata, kerajaan negeri seperti Selangor dan Sarawak yang berhasrat membeli sendiri bekalan vaksin itu harus memastikan ia berdaftar dengan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut melahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Katanya, setiap hari Kelantan mencatatkan kes tiga angka menjadikan negeri itu hampir setiap hari berada di kedudukan tiga tertinggi kes COVID-19.

“Memang kita bimbang daripada kebanyakan daerah hijau bertukar kepada merah. Tiada pendekatan lain melainkan semua rakyat berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sehingga kini tahap SOP dari segi penjarakan di lokasi tertentu seperti pasar masih lemah dan kita mengharapkan kerjasama semua pihak untuk memutuskan rangkaian COVID-19,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad berkata, setakat ini tiada perancangan untuk membuat perintah berkurung negeri itu.

“Perkara itu akan diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya ada keperluan dan negeri hanya mengikut arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Ahmad turut berterima kasih kepada petugas pasukan hadapan COVID-19 yang berkorban masa dan tenaga.

SUMBER: Berita Harian