Kenapa keras kepala bakar ‘halangan’ di laluan tikus?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jertih: Segelintir individu tidak bertanggungjawab dipercayai membakar penghadang plastik dan kawat duri di Kampung Gong Lapang, di sini, semalam sebagai protes terhadap penutupan laluan tikus di sempadan Terengganu-Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, perbuatan vandalisme itu disedari anggota polis yang membuat rondaan di kawasan laluan tikus itu malam semalam.

Katanya, ia bukan kejadian vandalisme pertama sebaliknya sudah beberapa kali apabila penghadang jalan plastik ditebuk dan dibuang air serta dialihkan di beberapa laluan tikus sepanjang sempadan negeri ini.

“Sebelum ini, hanya 15 lorong tikus sahaja yang ada bagi menghubungkan penduduk di dua negeri ini tetapi bertambah kepada 26 lorong tikus baharu sebaik sahaja tindakan menutup lorong tikus dilaksanakan.

“Perbuatan membakar penghadang jalan itu menunjukkan ada pihak tidak puas hati dengan tindakan tutup laluan untuk menghalang pergerakan rentas sempadan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjelang Aidilfitri, Khamis ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozak berkata, pihaknya kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih berdegil, keras kepala, tidak ambil kisah dan ambil tahu mengenai arahan PKP yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Mereka seolah-olah memberontak kerana laluan tikus yang biasa dilalui ditutup sepenuhnya di sempadan Besut, Terengganu dan Pasir Putih, Kelantan,” katanya.

Katanya, tindakan pantas memasang penghadang jalan konkrit di laluan tikus berkenaan diambil dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengelakkan kembali dirosakkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan vandalisme diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Besut di talian 09-6959999,” katanya.

Sumber: My Metro