
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memberi jaminan bahawa bekalan air adalah mencukupi untuk menampung kepulangan perantau dan rakyat di negeri ini sempena sambutan Aidiladha pada Sabtu ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sentiasa membuat persediaan rapi bagi memastikan kelancaran urusan bekalan air bersih pada musim perayaan.
“AKSB akan mengambil langkah sama seperti yang dilaksanakan pada Aidilfitri lalu dan berharap masalah gangguan bekalan air tidak berlaku.
“Kita jangka jumlah perantau yang pulang ke kampung sempena Aidiladha adalah lebih rendah berbanding Aidilfitri lalu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, pada Rabu.
Ujar beliau, hal ini kerana sebahagian perantau sudah pulang ke kampung pada musim cuti persekolahan yang lalu dan telah kembali ke tempat masing-masing.
Mohamed Fadzli turut memaklumkan bahawa ruang cuti sempena Aidiladha adalah lebih pendek berbanding Aidilfitri.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Selasa melaporkan lebih dua juta kenderaan dijangka memasuki negeri Kelantan menjelang sambutan Aidiladha.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, jangkaan tersebut berdasarkan trend semasa dan budaya masyarakat negeri ini yang gemar pulang ke kampung sempena cuti perayaan, khususnya Aidiladha.
Sumber : SINAR HARIAN