SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Kerajaan Negeri Komited Tingkat Capaian Internet Kawasan Luar Bandar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Kerajaan Pahang amat komited dalam mempertingkatkan capaian internet di seluruh negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

Perkara ini amat diambil berat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail demi memastikan jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar dapat diatasi dengan sebaiknya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia dapat direalisasi selepas projek infrastruktur komunikasi di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melakukan tinjauan projek infrastruktur komunikasi di bawah inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Kampung Serambi, Kampung Pulau Rumput dan Kampung Temai.

“Usaha Kerajaan Negeri Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut melibatkan kawasan Dewan Negeri Bebar yang akan menerima liputan internet jalur lebar berkelajuan tinggi (4G).

“Melalui pelan JENDELA Fasa 1 ini, sebanyak 11 buah menara baharu sedang dibina di 11 buah lokasi sekitar Bebar termasuk juga 65 buah stesen pemancar sedang dinaiktaraf dari rangkaian 2G/3G kepada rangkaian 4G melibatkan 42 lokasi,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.

Dalam pada itu katanya, penduduk di beberapa buah kawasan terlibat seperti Kampung Serambi telah menerima isyarat 4G.

“Saya rasa capaian internet di sini semakin baik, kalau dulu ada 2G, 3G sekarang dah capai 4G dan ini menunjukkan bahawa (kerja-kerja) penaiktarafan di sekitar kawasan DN Bebar telah berlaku dengan baik sekali, terima kasih kepada pihak SKMM,” katanya.

Sementara itu katanya, di Daerah Pekan sebanyak 22 buah menara baharu sedang dibina termasuk 126 stesen pemancar juga akan dinaiktaraf kepada rangkaian 4G dan ia dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama hingga suku ketiga tahun 2022.

“Usaha meningkatkan pencapaian internet dan telekomunikasi di Bebar dan Pekan ini telah saya jelaskan ketika perbincangan bersama penghulu dan ketua kampung dari zon Kampung tradisional Bebar yang diadakan secara dalam talian, semalam.

Menara komunikasi di Kampung Temai yang dinaiktaraf,

“Perbincangan ini diadakan bagi mengelak pertemuan yang bersemuka dalam usaha membendung wabak COVID-19 dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi zon-zon lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penghulu dan ketua-ketua kampung untuk menyelaraskan semua maklumat dan aduan berkenaan pencapaian internet dan telekomunikasi di kawasan masing-masing dengan segera.

“Saya minta semua salurkan maklumat (bersurat) kepada saya ataupun Pejabat Daerah Pekan agar Kerajaan Pahang dan pihak SKMM dapat mengambil tindakan segera yang tepat bagi memastikan pelan Jendela dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Di bawah projek infrastruktur komunikasi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebebanyak 270 buah menara baharu dibina di seluruh Negeri Pahang selain 893 buah lokasi terlibat dalam usaha naiktaraf stesen pemancar 2G/3G kepada 4G.

Sumber: PAHANGMEDIA