SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Kerajaan Pahang Tubuh Jawatankuasa OMBUDSMAN Negeri Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Negeri menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu lalu bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) bagi memperkukuhkan lagi kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan ismail berkata, JONP akan dipengerusikan oleh Ahli MMK Negeri, YB Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan keahliannya terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang Negeri; Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri; Ketua Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Ketua Unit Audit Dalam Pejabat SUK Negeri.

Jelasnya lagi, Unit Integriti Pejabat SUK Negeri ialah urusetia kepada JONP dan ia akan mengadakan mesyuaratnya secara berkala bagi menangani isu-isu berkaitan yang di bawah bidang kuasanya.

“JONP adalah menurut model digunapakai oleh Kerajaan Negeri Sarawak, yang merupakan perintis dalam kalangan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan memperkenal dan melaksanakannya.

“Jawatankuasa ini telah pertama kali dicadangkan kepada Kerajaan Negeri oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri tahun lepas (2020). Sejak itu, usaha untuk merealisasikannya dibuat termasuk kajian mendalam oleh pegawai-pegawai Unit Integriti Pejabat SUK Negeri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, antara peranan dan tanggungjawab JONP meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri Pahang yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan agensi.

“Selain itu, melantik Pasukan Siasatan Dalaman (PSD) bagi aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang memerlukan siasatan terperinci.

“Meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan dan membuat keputusan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri Pahang.

“Dan mempertimbangkan dan meluluskan sebarang syor dan cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri,” katanya.

Ujarnya lagi, unit Integriti, Pejabat SUK Negeri akan menerima dan melakukan saringan terhadap semua aduan melalui Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) sebelum dibawa ke peringkat JONP.

“Aduan-aduan yang akan diambil tindakan di bawah JONP antara lainnya ialah penyalahgunaan kuasa membabitkan penjawat awam, kelewatan atau tiada tindakan terhadap sesuatu permohonan di jabatan dan agensi.

“Sungguhpun begitu, adalah di luar bidang kuasa JONP untuk bertindak ke atas aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan jika ia telah dirujuk kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), SPRM, Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Negeri, Mahkamah, MMK Negeri, Lembaga Rayuan Negeri yang diurusetiakan oleh PLANMalaysia@Pahang, dan Biro Pengaduan Awam (BPA).

“Dengan pewujudan JONP diharapkan, sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih berintegriti dan berkesan, demi kebaikan semua khususnya rakyat yang menerima manfaat langsung dan tidak langsung daripadanya,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA